Institusi permuziuman adalah sangat penting bagi sesebuah negara yang bertamadun bagi meneruskan kesinambungan tamadun bagi tatapan, pengkajian dan renungan genarasi akan datang. Projek Ilmiah ini membincangkan dan menyentuh secara khusus mengenai sejarah penubuhan Muzium Tamadun Islam Sabah, organisasi, objektif, misi dan visi, fungsi muzium, perkembangan dan aktiviti. Muzium Tamadun Islam Sabah ini telah dirasmikan pada 5 April 2002 oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Hj. Sakaran bin Dandai. Matlamat kajian ini adalah untuk mengetahui sejarah penubuhan Muzium Tamadun Islam Sabah dalam mengetengahkan peradaban tamadun Islam di era globalisasi ini dan sumbangannya dalam perkembangan tamadun Islam di Malaysia pada hari ini. Bagi memastikan kelancaran kajian ini, pelbagai metode telah digunakan untuk tujuan tersebut. Antaranya ialah, kajian kepustakaan dalam mendapatkan sumber-sumber, kaedah pemerhatian, dan temubual bebas terhadap individu-individu berkaitan. Hasil daripada kajian ini, menunjukkan bahawa penubuhan Muzium Tamadun Islam Sabah amat penting dan diperlukan sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam membuat penyelidikan, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam khususnya. Selain itu juga, penubuhan Muzium Tamadun Islam Sabah ini juga berperanan sebagai sebuah institusi yang mempamerkan koleksi muzium dalam bentuk artifak, model, replika dan peta mengenai sejarah dan perkembangan Islam di negeri Sabah kepada para pelancong.